Skip to main content

Pais Hati Ikan Pari : Resepi Orang Lama

Hidangan Pais Hati Ikan Pari memang jarang kita temui apatah lagi di restoran atau gerai-gerai makan. Saya selalu makan hati ikan pari pais ini semasa saya kecil. Bapa saya menyediakan hidangan ini, jikalau dia mendapat hati pari yang besar  di Pasar Kuantan. 
Pais Hati Ikan Pari
Resepi  

Bahan-bahan

 Hati Ikan Pari  -  dari Ikan Pari yang besar 
 Bawang Merah dalam 10 biji   - giling
 Bawang Putih dalam 3 ulas  -  giling
 Lada Kering giling -  3 sudu
 Daun Kunyit sehelai - mayang kasar
 Sedikit  Kunyit
 Garam dan serbuk perasa

Cara-Caranya.

Campurkan semua bahan-bahan dan gaul bersama hati pari. Biarkan lebih kurang 30 minit. Bungkus hati bersama bahan perap itu di dalam daun pisang. Panggang hati pari ini menggunakan bara arang sehingga masak. 

Cara Potong dan Bersihkan Hati Ikan Pari

Memotong hati ikan pari ini adalah penting untuk mengelakkanya terkena hempedu pari yang pahit. Hati ikan pari ini ada dua keping yang bersambungan seperti hati ayam. Jikalau hempedu ayam adalah terpisah dari hatinya, hati ikan pari tidak begitu.

Sambungan hempedu ikan pari terletak didalam hati itu sendiri. Bahagian hati pari yang kecil potonglah dadu sebesar ibu jari. Bahagian hati pari yang besar terdapat lebihan  hempedu di dalamnya. Potong bahagian tepi dahulu dan bawa ketengah. Berhati-hati semasa memotong di bahagian sambungan tengah hati ini, jikalau sudah terpotong bahagian yang terdapat hempedu, buanglah bahagian itu. Ambil bahagian yang tidak terkena hempedu sahaja. Basuhlah hati pari ini seperti membasuh ikan. Berhati-hati sebab hati pari ini terlalu lembut.

Pais hati ikan pari ini sedap dimakan dengan  nasi putih bersama lauk-lauk lain. Makan begitu saja pun boleh juga. 


Rasa Mewah Katering

Caring is Sharing