Pengaruh Arab, Eropah dan Kepulauan Melayu telah mempelbagaikan hidangan dan masakan di Johor. Sebahagian masakan ini terlalu unik dan tidak didapati di negeri-negeri lain. Cara memasak yang berbeza dan resepinya yang tersendiri membuatkannya terlalu istimewa untuk orang Johor. Terdapat beberapa hidangan yang anak-anak muda Johor sendiri tidak tahu kewujudan dan cara memasaknya. Sekarang hampir kesemua masakan Johor boleh didapati pada setiap masa dan tidak hanya pada waktu-waktu perayaan sahaja.
Halwa Maskat | Kacau Keledek | Wajik Di Jadikan Sebagai Kek Pengantin |
- Laksa Johor adalah masakan yang begitu senonim dengan orang Johor. Berbeza dengan laksa-laksa lain kerana kuahnya dimakan bersama 'Spaghetti'. Pengaruh Eropah telah mengubah cara hidangan masakan ini. Spaghetti ini lebih kurang 15 helai akan digulung-gulung seperti satu bulatan dan dipanggil 1 chap. Prosesnya dipanggil mengechap
- Mee Bandung Muar memang berasal dari Johor. Ia amat porpular di daerah Muar. Perkataan Bandung ini bukanlah merujuk kepada daerah Bandung di Indonesia tetapi lebih kepada campuran bahan-bahan yang banyak digunakan. Penggunaan udang kering yang banyak membuatkannya enak dan ada rasanya yang tersendiri.
- Penganan Kacau Keledek makanan pencuci mulut yang dahulunya hanya untuk golongan Bangsawan dan Raja di Johor. Diperbuat daripada keledek kuning yang direbus dan dicampur dengan telur serta gula lalu dimasak . Cara menghias makanan ini juga ada seninya. ( Maaf gambar tidak dapat di post.. akan di update kemudian )
- Mee Rebus Johor terlau berbeza dengan mee-mee rebus di negeri-negeri lain, terutamanya pada kuahnya. Penggunaan kentang dan daging tetel serta udang merupakan bahan utama untuk kuahnya. Mee rebus ini dimakan bersama Pendaram Udang yang ranggup. Sungguh menyelerakan.
- Arisa adalah makanan daripada pengaruh Arab. Bahan utama untuk membuatnya adalah daging ayam yang telah direbus lalu digiling. Kemudian dicampur dengan Quaker Oats bersama-sama air rebusan ayam tadi. Lalu dimasak sehingga kental. Ia dimakan bersama madu dan garam lada. Garam lada adalah cili merah digiling bersama perahan limau nipis dan ditambahkan garam. Senangnya nak buat garam lada.
- Telur Pindang terlalu sinonim dengan Johor. Telur yang direbus bersama-sama bahan-bahan seperti bawang, jintan, serai, daun jambu muda dan lain-lain. Mengambil masa 2 hari lamanya untuk memasak untuk mendapatkan hasil yang baik.
- Roti Jala atau Roti Kirai juga masakan yang berasal dari Johor . Perkataan Jala ini merujuk kepada bentuknya seperti jala. Kalau di negeri lain mungkin lebih kepada lempeng sebab cara adunan bahan-bahan membuatnya lebih kurang sama. Ia biasanya dimakan bersama kari ayam atau daging. Walaupun begitu bahan-bahan utama iaitu ayam, daging dan kentang dipotong kecil-kecil seperti membuat inti karipap tetapi besar sedikit dan kuahnya adalah pekat.
- Nasi Beriani Gam terlalu popular di Johor. Terutama kalau orang cakap Nasi Beriani Gam Batu Bahat. Nasi dimasak bersama lauknya sekali. Ayam, daging atau kambing yang telah di dam dan di campur dengan rempah serta daun ketumbar, pudina dan lain-lain diletakkan di dalam periuk lalu atasnya diletakkan beras yang telah dicelur.Dimasak dengan api yang kecil. Bagaimana perkataan Gam ini boleh timbul. Dimanakah gamnya? Tepung tanpa bahan-bahan lain yang diadun seperti membuat roti canai diletakkan dikeliling bibir periuk. Tudung periuk akan digam bersama periuk itu oleh adunan tepung itu.
- Kacang Pol merupakan makanan yang dipengaruhi oleh masakan Arab. Bahan utama untuk kuah masakan ini adalah kacang pol, tomato serta kentang. Dimakan bersama roti perancis yang dibakar dan telur mata lembu.
- Otak-otak Gelang Patah yang sudah tinggal nama sahaja. Timbul pula Otak-Otak Kempas, Otak-Otak JB dan Muar. Isi ikan yang telah dikeluarkan dicampur bersama rempah ratus dan bahan lainnya diisikan pada helaian daun kelapa atau nipah . Sedap dimakan semasa masih panas setelah dibakar.
- Lontong - diperbuat dari beras yang dimasak di dalam daun pisang. Dimakan bersama kuah lodeh dan telur rebus.
- Burasak adalah nasi yang dimasak seperti nasi lemak lalu dibungkus didalam daun pisang dan direbus selama lebih kurang 3 jam. Merupakan masakan orang Bugis.
- Halwa Maskat manisan yang mungkin berasal dari Oman. Hendak memasak halwa maskat ini kena pandai basuh tepung. Basuh tepung? Bahan utamanya tepung gula, minyak sapi dan telur. Cara memasaknya lebih kurang macam dodol. Dicampur dengan badam hiris. Amat manis sekali, nama pun manisan
Anecdote :
Kek Pengantin di atas adalah dari masakan Johor yang terdiri dari Halwa Maskat ( Tingkat Atas ) , Kacau Keledek ( Tengah ) di masak agak keras sedikit untuk mudah dibentuk dan Wajik di tingkat bawah. Gambar diambil semasa mengelolakan katering Perkahwinan anak sulung Pn Syarifah Radziah a.k.a Chef Big Mama.
Kacau Keledek juga dijadikan sebagai hidangan untuk Majlis Makan Malam semasa mengelolakan katering Perkahwinan anak sulung Pn Zaidah di Dewan Jubli Intan Johor Bahru.
Rasa mewah Catering
Sharing is Caring
Kacau Keledek juga dijadikan sebagai hidangan untuk Majlis Makan Malam semasa mengelolakan katering Perkahwinan anak sulung Pn Zaidah di Dewan Jubli Intan Johor Bahru.
Rasa mewah Catering
Sharing is Caring